Sunday 31 December 2017

Buasir - Petua Untuk Mengatasi Penyakit Buasir

Buasir - Petua Untuk Mengatasi Penyakit Buasir | Penyakit Buasir atau Hemoroid adalah penyakit yg terjadi pada bahagian dubur. Penyakit ini dapat dikesan apabila saluran dubur membengkak. Ianya boleh berlaku sama ada di dlam dubur atau di kawasan luar. Biasanya pesakit akan berasa sakit kesan tekanan otot dubur ke atas bengkak tersebut sehingga menyebabkan proses pembuangan air besar menjadi amat perit. Bengkak itu terjadi disebabkan oleh pengembangan saluran darah pada sel-sel yg melapisi saluran dubur. Selain bengkak pada saluran dubur, pendarahan semasa membuang air besar juga terjadi disebabkan oleh luka apabila najis keras bergesel dengan buasir.




Faktor atau Penyebab:
1.  Regangan yang melampau semasa pergerakan usus atau ketika sembelit.
2.  Cirit-birit yang kronik.
3.  Kurangnya pengambilan makanan berserat dalam diet harian.
4.  Mengandung atau bersalin.

Simptom-Simptom Penyakit Buasir:
-.  Rasa sakit yang berdenyut-denyut.
-. Pendarahan berlaku selepas dan sebelum membuang air besar.
-. Darah menitis dan tersembur keluar dari saluran dubur.
-. Dalam tempoh pendarahan ini, pesakit itu boleh mengalami kekurangan darah.
-. Ada yang tidak mengalami pendarahan, tetapi dikenali sebagai pembengkakan dubur. Bengkak ini keluar selepas membuang najis. Kadangkala untuk tempuh sementara, kurang sakit tetapi ada rasa gatal-gatal.

Terdapat 4 peringkat  yang menggambarkan keseriusan penyakit buasir tersebut :

Tahap 1:  Berlaku pendarahan dan bengkak menonjol keluar.
Tahap 2: Disebabkan oleh pergerakan usus, bengkak akan keluar tetapi secara spontan akan kembali ke dalam (saluran dubur ).
Tahap 3: Keadaan yang sama seperti tahap 2, tetapi bengkak tersebut akan hanya berada di dalam setelah ditolak masuk secara fizikal.
Tahap 4: Darah pekat keluar, menyebabkan rasa sakit dan susah untuk meneran. Buasir akan berada di luar kawasan dubur.

Lazimnya, buasir ini tidak terasa sakit dan gatal kerana ia terletak jauh ke dalam rektum. Buasir dalaman tidak merbahaya tetapi meneran dan gangguan dari laluan najis semasa membuang air besar boleh mencederakan permukaan buasir yang getas dan menyebabkannya berdarah. Anda akan terlihat titisan darah yang berwarna merah cerah pada kertas tisu atau di mangkuk tandas. Jika keadaan ini berlaku anda perlu mendapat bantuan perubatan, kerana darah tersebut mungkin datang dari sumber lain seperti ketumbuhan atau kanser kolorektum.

Selain daripada bengkak yang amat ketara ketika mengalami buasir, tanda-tanda lain termasuklah rasa gatal pada lubang dubur, rasa kepanasan pada kawasan dubur selepas membuang air besar, rasa sakit yang berdenyut-denyut, sukar untuk membuang air besar dan rasa tidak selesa pada bahagian dubur apabila berdiri lama atau bertinggung. Kesakitan pada bahagian dubur menyebabkan pesakit akan mengalami perubahan di dalam corak membuang air besar.

Buasir LuaranBuasir jenis inilah yang selalu kita dengar mengakibatkan gejala-gejala seperti sakit, pedih dan gatal di dubur. Jika buasir ini tersepit (bekalan darah akan terputus), bekuan darah akan terjadi di dalamnya menyebabkan ia terasa amat sakit. Gejala-gejala beginilah yang menyebabkan buasir jenis ini memerlukan perhatian dan rawatan perubatan. Apabila sahaja salur darah vena rektum teregang atau memberi dan terjadinya buasir adalah sukar untuk ia dibuang atau ditanggalkan sepenuhnya. Buasir ini akan berulang kembali walaupun dengan tekanan atau bebanan yang lebih ringan berbanding dengan yang dahulunya.

Untuk melegakan kesakitan ketika diserang buasir, pesakit disyorkan agar kerap membuang air besar dan memastikan najis tidak keras serta menjaga kebersihan diri terutama sekali di kawasan dubur dan menggunakan ubat buasir. Untuk mengatasi sembelit dan memastikan najis berkeadaan lembut, pesakit disyorkan meminum banyak air dan mengambil lebih sayur-sayuran dan buah-buahan. Jika langkah ini tidak juga berkesan pesakit boleh mendapatkan ubat yang melembutkan najis seperti Metamucil ataupun julap yang menggalakkan pembuangan air besar yang lebih kerap seperti Milk of Magnesia.

Untuk menjaga kebersihan pada kawasan dubur, pesakit digalakkan untuk mencuci kawasan tersebut dengan lebih kerap dengan menggunakan sabun dan air selepas membuang air besar. Selain itu pesakit juga boleh merendamkan diri dalam air suam dua atau tiga kali sehari untuk selama 15 minit. Garam mandian juga boleh digunakan kerana ia berupaya untuk mengecutkan kawasan dubur yang bengkak.

Risiko Mendapat Buasir
Faktor-faktor yang  boleh menyebabkan seseorang itu mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat buasir adalah seperti berikut:
1. Keturunan iaitu mempunyai ahli keluarga yang ada penyakit buasir
2. Wanita mengandung
3. Batuk yang melampau dan berpanjangan boleh juga membawa kepada penyakit buasir
4. Meneran semasa membuang air besar


                                       Petua Perubatan Tradisional Melayu
Pilihan 1: Ambil 7 biji ciku muda sebesar ibu jari. Rebus dan minum air rebusannya setiap pagi. Jadikan ia sebagai amalan setiap hari sehingga masalah buasir anda berkurangan dan lega.

Pilihan 2: Ambil buah tomato yang hampir masak dan goreng dengan sedikit minyak. Biarkan ia sejuk. Setelah itu sapukan pada bahagian buasir. Jadikan ini sebagai amalan sehingga buasir anda pulih.

Pilihan 3: Ambil segenggam daun pokok semambu. Tumbuk dan campurkan dengan sedikit garam untuk mengurangkan rasa pahit. Minum air daun tersebut dan sapu sedikit di bahagian buasir.

Petua Menghindari Penyakit Buasir
1. Batuk, cirit-birit dan sembelit yang dialami perlu dirawat seawal mungkin. Masalah yang berpanjangan boleh membawa kepada masalah buasir.
2. Jika perlu duduk dalam jangka masa yang panjang, cuba bangun dan berjalan-jalan sekurang-kurangnya 5 minit setiap 1 jam
3. Ketika mengangkat sesuatu atau ketegangan,hembuskan nafas keluar, jangan tahan nafas.
4. Amalkan tabiat buang air besar yang baik. Jangan mengambil masa yang lama dalam tandas. Pastikan najis sentiasa lembut dengan memakan makanan yang tinggi serat, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.
5. Banyakkan meminum air. Paling minimum 1.5 – 2 liter sehari
6. Mengamalkan cara makanan yang seimbang juga dapat menghindari dari penyakit buasir. Penekanan adalah lebih kepada memakan makanan tinggi serat, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.
7. Cuba tetapkan masa penggunaan tandas. Contohnya, selepas bangun tidur setelah meminum segelas besar air.
8. Masalah buasir juga boleh dielakkan dengan tidak memakan makanan yang boleh menyebabkan gangguan (makanan pedas atau berempah, alkohol) atau yang boleh merangsangkan usus (kopi atau teh).
9. Berjumpa doktor segera jika mengalami tanda buasir (darah dalam najis,sakit atau gangguan pada dubur).

Petua Untuk Mempercepatkan Penyembuhan Buasir
1. Elakkan sembelit. Makan diet yang mengandungi fiber yang tinggi, minum banyak air dan membuat senanam yang tetap walaupun hanya dengan berjalan. Anda juga boleh mendapatkan fiber tambahan atau pelembut najis.

2. Jangan tunggu ketika anda ingin membuang air besar dan cuba jangan meneran apabila membuang dan jangan berlengah-lengah ke bilik air.

3. Buat senaman kegel setiap hari. Ia dapat meningkatkan pengedaran di kawasan rectal dan menguatkan otot-otot di sekeliling anus, menguatkan otot-otot di vagina dan uretha mempercepatkan badan sembuh selepas bersalin.

4. Elakkan dari minum air tebu, memakan buah nenas dan kacang bendir.

                                                           Petua Perubatan Moden

Pilihan Ubat Buasir - Antara ubat yang boleh digunakan adalah:
  1. Agen Anestetik setempat
  2. Pengecut saluran darah setempat
  3. Pengurangan kerengsaan atau kegatalan
  4. Astringen yang mengurangkan insipadu sel-sel
  5. Pengurangan kesakitan dan kegatalan
Disebabkan ubat-ubatan ini digunakan secara setempat pada kawasan dubur, maka penyampaian ubat kepada buasir secara langsung adalah amat penting untuk mendapatkan kesan ubat tersebut. Dalam hal ini, ubat akan disapukan ke atas bengkak buasir luaran manakala untuk buasir dalaman, ubat disediakan dalam bentuk supositori atau paip bagi memudahkan penyampaian ubat ke kawasan dalaman dubur.

Agen Anestetik Setempat - Agen anestetik atau bius setempat bertindak merngurangkan rasa sakit, gatal, pedih dan kerengsaan pada bengkak buasir melalui halangan kepada penyampaian isyarat sakit yang disampaikan oleh sistem saraf. Kebiasaannya penggunaan agen ini akan menyebabkan timbulnya rasa kebas pada bahagian yang sakit. Agen ini hanya digunakan pada buasir luaran kerana deria saraf hanya tertumpu pada bahagian luar dubur sedangkan saraf yang sama tidak terdapat pada bahagian dalaman dubur. Contoh ubat yang mempunyai tindakan menghilangkan rasa sakit adalah benzokain yang diletakkan pada buasir.

Pengecutan Saluran Darah Setempat - Pengecutan saluran darah akan menyebabkan saluran darah yang terdapat pada kawasan dubur mengecut dan seterusnya menyebabkan bengkak buasir turut mengecut. Pemahaman mengenai tindakan ubat ini mudah difahami dengan mengambil contoh pengurangan air sungai yang dikawal oleh sebuah empangan. Sekiranya air sungai yang disekat mengalir, maka paras air sungai akan menurun sama seperti bengkak buasir yang reda akibat pengurangan bendalir yang masuk ke kawasan tersebut. Contoh ubat yang dikategorikan sebagai pengecut saluran darah adalah noradrenalin pada kepekatan 0.005 hingga 0.001 peratus yang disapukan pada bengkak buasir. Di samping itu, ubat ini juga meredakan rasa gatal pada bengkak buasir melalui kesan bius yang lemah.

Pengurangan Kegatalan - Pengurangan kegatalan dengan cara menahan kehilangan air serta lembapan kulit menyebabkan timbulnya rasa gatal akibat kulit yang kering. Apabila darjah lembapan meningkat, bengkak menjadi lembut yang seterusnya mengurangkan kesakitan disebabkan tekanan yang terbentuk di atas bengkak buasir. Contoh bahan yang dapat menahan kehilangan air ini adalah seperti gliserin atau salap petrolatum yang membentuk lapisan berminyak di atas permukaan bengkak buasir.

Astringen -  Astringen bertindak melalui halangan ke atas kehilangan air atau lembapan daripada permukaan bengkak buasir. Juga, astringen mempunyai kesan tambahan ke atas sel-sel bengkak dengan memendakkan protein yang terdapat pada sel-sel tersebut. Contoh ubat yang mempunyai kesan astringen adalah krim zink oksida atau losyen kalamin yang apabila disapu pada permukaan kulit akan meninggalkan rasa sejuk pada permukaan kulit. Dengan kesan tersebut, rasa panas atau pedih pada bengkak buasir dapat diredakan.

Pengurang Kesakitan - Ubat jenis ini akan bertindak pada sel-sel bengkak ataupun juga dikenali sebagai sel radang dengan mengurangkan proses tindakbalas yang menyebabkan timbulnya sel-sel bengkak. Apabila tindak balas keradangan dikurangkan, maka proses pengecutan sel boleh terjadi dan buasir dapat diredakan. Contoh ubat yang mempunyai aktiviti seperti ini adalah krim hidrokortison pada kepekatan 0.5 peratus yang disapu ke atas buasir.

Sekiranya seseorang mengalami penyakit buasir, penjagaan kebersihan kawasan dubur amatlah penting untuk mencegah buasir. Langkah pencucian telah diterangkan dan paling penting adalah mengamalkan tabiat pembuangan air besar yang baik pada setiap hari. Pesakit selalunya akan dinasihatkan oleh para pengamal kesihatan untuk mengambil air yang banyak dan mengekalkan pemakanan yang seimbang dengan kandungan fiber yang tinggi untuk mencegah terjadinya buasir. Jika buasir terjadi berulangkali atau tidak reda selepas seminggu walaupun dengan menggunakan ubat buasir, maka segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Terdapat 2 matlamat untuk merawat buasir. Pertamanya, menghentikan gejala atau simptom (sakit, pedih dan gatal). Keduanya ialah mengecutkan buasir tersebut.

a. Mandian Sitz (rendamkan bahagian rektum ke dalam air suam) untuk selama 15-20 minit, 3 hingga 4 kali sehari. Rawatan ini sangat mudah dan berkesan untuk mencapai kedua-dua matlamat di atas. Anda boleh membeli ubat krim buasir dan supositori untuk menghilangkan gangguan dan kesakitan tetapi ia tidak boleh mengecutkan buasir. Untuk mengecutkan buasir kepada saiz asalnya, pengubatan semasa
adalah berguna. Cucikan seluruh bahagian rektum dengan air suam setiap kali anda membuang air besar dan gunakan julap serat pukal (bulk fibre laxative) untuk melembutkan najis. Ini boleh mengelak anda dari meneran semasa membuang air besar. Kebanyakan orang mengambil ubat tambahan serat pukal ini setiap hari untuk mengelak dari buasir. Tetapi perlu diingat bahawa serat pukal ini mengambil masa beberapa hari untuk memberi kesan. Jika anda sedang menghidapi buasir dan membuang najis yang keras anda mungkin memerlukan ubat atau julap yang dapat melembutkan segera najis anda untuk mengelakkan anda dari meneran yang boleh memburukkan lagi buasir anda.

b. Bagi buasir yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan konsevatif, rawatan yang standard boleh dijalankan iaitu mengikat dengan lingkaran getah (rubber band ligation). Satu atau dua lingkaran getah diikat di sekeliling pangkal buasir. Ini akan menyekat peredaran darah ke buasir tersebut. Dalam masa 7 hingga 10 hari, buasir tersebut akan tertanggal keluar. Ikatan lingkaran getah ini hanya digunakan untuk buasir dalaman sahaja. Ia dilakukan tanpa menggunakan ubat bius dan tidak menimbulkan kesakitan. Tetapi anda mungkin mengalami sedikit ketidakselesaan untuk beberapa hari.


c. Koagulasi Inframerah - sinaran inframerah dipancarkan selama satu atau dua saat untuk menghentikan bekalan darah ke buasir. Anda mungkin terasa bahang panas ketika prosedur ini dilakukan dan terdapat sedikit pendarahan berlaku dalam beberapa hari selepas itu. Prosedur ini sama juga seperti ikatan lingkaran getah, dilakukan hanya untuk buasir dalaman. Tetapi ia lebih cepat dan kurang menyebabkan jangkitan.

d. Elektrokoagulasi bipolar - Prosedur ini dikenali juga dengan nama Bicap, adalah sama seperti prosedur Koagulasi Inframerah dan ia mempunyai kebaikan dan keburukan yang sama.


e. Terapi laser - pancaran laser akan mengewapkan tisu buasir. Tetapi prosedur ini didapati lebih mahal dan tidak menunjukkan sebarang kelebihannya dari prosuder-prosedur lain. Ia perlu dijalankan dengan berhati-hati dari segi kedalaman dan lokasinya bagi mengelakkan pendarahan dan kesakitan kepada pesakit.

f. Pembedahan biasanya dilakukan sebagai langkah terakhir apabila kedua-dua jenis buasir tersebut menjadi semakin teruk dan rawatan-rawatan lain tidak berjaya menyembuhkannya. Kaedah ini didapati berkesan tetapi pesakit terpaksa tinggal di dalam hospital sehari dua dan mengambil masa yang agak lama untuk sembuh berbanding dengan pendekatan lain. Rawatan yang agresif ini boleh menyembuhkan buasir dalam beberapa hari sahaja. Tetapi ia mungkin mengambil masa 2 - 4 minggu untuk pulih sepenuhnya. Jika tidak, anda perlu berjumpa doktor semula dan berbincang dengannya. Masalah-masalah perubatan penyakit keradangan usus atau jangkitan usus boleh menyerupai gejala-gejala buasir. Oleh itu, jika keadaan anda masih berterusan walaupun telah mendapat rawatan asasnya, anda perlu berjumpa doktor.

No comments:

Post a Comment